BB

BB

.

.

Sunday, 14 July 2013

Ihya Ramadhan 2013 Homestay UmarKashah Bandar Temerloh


 Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan umur dan  dikurniakan nikmat sihat untuk kita sama-sama menjalani ibadha puasa di bulan ramadhan 2013 ini. Sahabat yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu.
Rasulullah s.a.w Bersahur

Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda:
Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan. (HR: al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:
Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur. (HR: Muslim)

Rasulullah Menyegerakan Berbuka

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.
Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang dilaporkan oleh al-Bukhari & Muslim:
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ ”
Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.
Perbuatan melambat-lambatkan berpuasa puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.
Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h:
Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.
Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:
Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.
Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat…” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah diantara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.
Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma
Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya:
Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.
Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.
Tidur Qailulah
Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Ibn Majah:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ “
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.
Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.
Menjaga Lidah
Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikitpun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa.
Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadith yang dilaporkan oleh Ahmad dan al-Tabarani:
رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari:
وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata “Saya berpuasa”.
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang dilaporkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.
Memberi Makan Orang Yang Berpuasa
Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah di dalam hadith-hadith baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah:
Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya
Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ini kerana, berpuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah s.a.w.
Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:
Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum (riwayat Muslim). Ya Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka(riwayat Muslim).
Doa Ketika Berbuka Puasa
Nabi s.a.w memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari baginda s.a.w. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang dilaporkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:
إبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :ثلاثه لاترد دعوتهم : الأمام العادل , والصائم حتى يفطر , ودعوة المظلوم…
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi…
Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah:
ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.
Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat. Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat menasihati serta berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat. Wallahu A’lam.


Kemudahan adalah antara ciri istimewa syari‘at Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an:Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78].


Antara kemudahan Islam ialah mengecualikan kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan bagi orang yang bermusafir. Firman Allah: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. [al-Baqarah 02:184]. 

Berdasarkan ayat di atas, dibolehkan berbuka apabila seseorang itu dalam musafir. Dia hanya diwajibkan mengqadha semula bilangan hari puasa Ramadhan yang tidak disempurnakannya. Tidak ada perselisihan di kalangan ahli-ahli ilmuan dalam perkara ini. Akan tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan sebelum seseorang itu memanfaatkan kemudahan ini.

 Jarak dan Tempoh Perjalanan.
Jarak dan tempoh perjalanan yang membolehkan seseorang itu berbuka puasa atau tidak berpuasa adalah sama dengan apa yang membolehkan solat diqasar. Dalam erti kata lain, apabila seseorang itu bermusafir sehingga membolehkan dia mengqasar solat-solat fardhunya, dia juga boleh berbuka puasa atau tidak berpuasa.
Terdapat beberapa pendapat di kalangan ilmuan Islam berkenaan jarak dan tempoh perjalanan seorang musafir. Saya tidak merancang untuk mengupasnya di sini. Para pembaca boleh berpegang kepada pendapat yang paling diyakininya sambil menghormati pendapat sahabat-sahabat yang lain jika mereka yakin kepada pendapat yang berbeza.


Manakah lebih baik - berpuasa atau berbuka?
Pilihan sama ada untuk terus berpuasa atau berbuka ketika musafir adalah satu anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Anugerah ini diberikan tanpa mensyaratkan sesuatu kesukaran dalam perjalanan. Seseorang itu bebas memilih antara berpuasa atau berbuka, sebagaimana terang hadis berikut ini daripada A’isyah, bahawa seorang sahabat bernama Hamzah bin 'Amr al-Aslami bertanya kepada Nabi: “Patutkah aku berpuasa ketika bermusafir?” Rasulullah menjawab: Jika engkau mahu silakan berpuasa dan jika engkau mahu silakan berbuka. [al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, no: 684] 
Abdullah ibn Abbas berkata: Rasulullah adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan. Oleh itu sesiapa yang suka bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuka. [Shahih al-Bukhari, no: 1948] Anas bin Malik juga menerangkan: Kami pernah berpergian bersama Rasulullah, (di kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka) tetapi yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa. [al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, no: 682] 
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, Syaikh Abdul Karim Zaidan merumuskan: “Dibolehkan bagi orang yang bermusafir yang menempuh jarak perjalanan yang membolehkan solat diqasar untuk berbuka pada bulan Ramadhan, sesuai dengan kesepakatan para ulama’  sama ada dia mampu untuk melakukan puasa atau tidak mampu, sama ada puasa itu menyukarkan dirinya atau tidak.” [al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah, jld. 2, ms. 38]
Akan tetapi jika seseorang itu menghadapi kesukaran ketika berpuasa dalam musafir maka yang sebaiknya adalah untuk dia berbuka berdasarkan kepada hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abd Allah yang menerangkan bahawa Rasulullah pernah dalam satu perjalanan melihat serombongan manusia dan seorang lelaki yang diteduhi oleh mereka. Lalu Rasulullah bertanya:“Mengapa ini?” Mereka menjawab: “Dia sedang berpuasa.” Rasulullah kemudiannya bersabda: “Bukanlah satu kebaikan untuk berpuasa dalam perjalanan (sebegini).” [al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, no: 681] 
Apabila sedang musafir, lalu seseorang itu menghadapi suasana kesukaran yang amat berat lagi membahayakan untuk berpuasa, maka puasanya menjadi haram dan berbuka menjadi wajib berdasarkan hadis berikut:
Jabir bin ‘Abdullah berkata, bahawa Rasulullah pernah keluar dalam bulan Ramadhan pada tahun pembukaan Mekah (Fath al-Makkah) lalu baginda berpuasa dan orang ramaipun berpuasa bersamanya. Begitulah keadaannya sehingga sampai ke Kurail Ghamim. Baginda diberi laporan bahawa orang-orang merasa amat payah berpuasa dan kini mereka menanti keputusannya. Lalu (sesudah waktu Asar) Nabi meminta semangkuk air lalu baginda minum.
Kemudian sampailah berita kepada Nabi bahawa ada sebahagian orang yang masih berpuasa, maka Nabi bersabda: “Mereka itu orang-orang yang derhaka, mereka itu orang-orang yang derhaka.” [Shahih Muslim, no: 1114] 
Berdasarkan hadis ini berkata Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin: “Jika berpuasa mendatangkan suasana kesusahan yang teramat sangat kepada orang yang bermusafir, dia wajib berbuka dan menqadhakan semula di hari yang lain. Tetap berpuasa dalam keadaan sedemikian adalah haram hukumnya.” [Fatawa al-Shiyam, ms. 19]
Secara ringkas, pilihan berbuka atau berpuasa ketika musafir boleh dikategorikan kepada tiga tahap, iaitu:

  1. Dibolehkan berpuasa atau berbuka ketika musafir tanpa sebarang syarat atau halangan.
  1. Sebaiknya berbuka puasa apabila menemui kesukaran.
  1. Wajib berbuka apabila mengalami kesukaran yang amat berat.

No comments:

Post a Comment

http://www.facebook.com/homestaytemerloh

http://www.facebook.com/homestaytemerloh
http://www.facebook.com/homestaytemerloh

Google+ Badge